Cara Mandi Wajib Yang Ringkas Mengikut Islam

Cara mandi wajib secara betul adalah sangat mustahak agar semua ibadat kita yang lain sah dan diterima.

Mandi wajib, dikenali juga sebagai mandi junub, hukumnya wajib bagi setiap individu muslim untuk membersihkan diri daripada hadas besar.

Mandi wajib menjadi satu kemestian apabila seseorang berjimak atau bersetubuh, keluar air mani tanpa persetubuhan atau keluar air mani kerana bermimpi.

Jika anda tidak melakukannya maka segala perbuatan wajib seperti solat fardhu anda setiap hari tidak sah akibat anda dalam keadaan berhadas besar

Imej: gulalives.co

Mandi wajib juga mesti dilakukan apabila seseorang keluar darah haid atau darah nifas (darah ketika melahirkan anak), wanita bersalin, mati atau seseorang baru masuk Islam.

Rukun

Ada tiga rukun mandi wajib, iaitu 1. niat, 2. menghilangkan kotoran dan najis pada mana-mana anggota badan, dan 3. meratakan air ke seluruh anggota badan.

Meratakan air ke seluruh badan bermaksud meliputi juga seluruh bahagian berlipat pada badan.

Air mutlak

Mandi wajib hendaklah menggunakan air mutlak. Apakah air mutlak? Air mutlak ialah air yang suci lagi menyucikan.

Tidak sah jika menggunakan bukan air mutlak untuk mengerjakan mandi wajib.

Cara mandi wajib

Cara mandi wajib paling baik ialah mengikut cara yang ditunjukkan Rasulullah saw seperti diriwayatkan Imam at-Tirmizi, iaitu

  1. - Baca Bismillah sambil berniat mengangkat hadas besar .

  2. - Basuh tangan (tiga kali).

  3. - Basuh alat kelamin.

  4. - Ambil wuduk seperti biasa, kecuali kaki.

  5. - Basuh seluruh rambut.

  6. - Basuh kepala dan telinga (tiga kali timba air).

  7. - Jirus air ke seluruh badan sebelah kanan dari atas ke bawah.

  8. - Jirus air ke seluruh badan sebelah kiri dari atas ke bawah.

  9. -  Gosok dan ratakan ke semua bahagian sulit (ketiak, pusat, lutut dan lain-lain)

  10. - Basuh kaki.

*Bagi wanita, disunatkan menguraikan rambut. Jika rambut disanggul hendaklah dibuka bagi membolehkan air sampai ke seluruh rambut.

Seperti yang diajarkan Rasulullah saw, lebih elok jika memakai kain hingga ke lutut ketika mandi wajib atau mandi junub ini.