HFMD : Ini Pesanan & Tips Berguna Dari Dr Erna Nadia Yang Wajib Ibu Bapa Baca

Apa itu HFMD? memandangkan kes ini merebak diseluruh Malaysia, jom tengok pesanan dan tips berguna dari dr ernda berkaitan dengan HFMD ini.

@editor viramon.com

Orang ramai disaran tidak meminta petua-petua yang tidak betul di media sosial kononnya bagi mengatasi Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD), sebaliknya ambillah langkah perlu lain yang lebih mustahak, termasuk menjaga kebersihan serta tidak membawa anak-anak yang dijangkiti ke tempat awam.

Demikian menurut Dr Erna Nadia menerusi pos terbaru di akaun Facebook beliau pada 29 Julai lalu.

Berdasarkan profil di media sosial itu, Dr Erna Nadia ialah doktor perubatan (medical doktor) di Kementerian Kesihatan.

SARANAN BELIAU

“Virus ini tidak akan mati hanya dengan sanitizer menggunakan ethanol atau sabun biasa (tak kiralah jenama apa).

“Seeloknya basmi kuman itu dengan campuran air suam panas dan klorok.

“Ada yang bagi petua suruh makan itu ini begitu begini dan ada yang suruh sapu macam-macam supaya ruam cepat sembuh. Tolonglah jangan mudah terikut,” catat beliau.

Imej: kosmo.com.my

Dr Erna menyarankan penggunaan campuran klorok dan air atau air suam untuk membersihkan lantai, tandas dan pinggang mangkuk bagi menangani HFMD.

Katanya, HFMD dapat dikurangkan penularannya. Apa yang perlu ialah ibubapa mesti bertanggungjawab tidak membawa anak-anak yang tidak sihat ke sekolah, taska, rumah pengasuh atau ke tempat awam seperti kedai makan, pusat beli belah, taman permainan dan pasar malam.

BOLEH PULIH SENDIRI

“Ingat, penyakit ini boleh pulih sendiri, cuma perlu memastikan anak-anak tidak dehidrasi dan aktif".

“Penyakit ini boleh berulang kembali kepada mereka yang pernah dijangkiti,” catat beliau dalam hantaran di media sosial itu.

Katanya, jika ada tanda-tanda dehidrasi atau kurang air seperti bibir kering, kulit kering, air kencing berkurangan, pucat, lemah atau tidak aktif, bawalah berjumpa doktor untuk diperiksa.

Imej: facebook.com dr erna

Walaupun HFMD dapat pulih sendiri kerana badan akan membentuk antibodi bagi melawan virus ini, Dr Erna mengingatkan bahawa penyakit itu boleh menyebabkan komplikasi seperti jangkitan kuman pada paru-paru, jantung, mata dan otak.

Menurutnya, ada juga yang mendapat jangkitan bakteria bersama HFMD. Ini katanya, akan diperiksa oleh doktor dan jika sah membabitkan bakteria, barulah antibiotik akan diberikan.

Beliau berkali-kali menekankan beri pentingnya menjaga kebersihan dan tidak membawa anak-anak yang tidak sihat ke tempat awam.

Imej: facebook.com dr erna

“Cuci tangan dengan air dan sabun selepas ke tandas, sebelum dan selepas makan, selepas menukar lampin atau cuci najis.

“Dan jadilah manusia yang bertanggungjawab,” tegas beliau.

Sambil melahirkan kebimbangannya berikutan peningkatan kes penyakit itu, Dr Erna menegaskan jika HFMD dihidapi wanita mengandung, ia tidak akan menjangkiti janin, tetapi mesti mendapatkan pemeriksaan doktor.

Menjelaskan lagi mengenai HFMD, Dr Erna menyatakan penyakit itu bukanlah seperti yang terjadi pada haiwan. Ia penyakit disebabkan virus yang disebarkan menerusi cecair di udara.

Imej: facebook.com dr erna

Penularan penyakit itu pula, katanya, disebabkan sesetengah ibubapa masih membawa anak-anak yang tidak sihat ke tempat awam dan tahap kebersihan di beberapa tempat awam serta sekolah, taska, rumah pengasuh dan rumah sendiri pula tidak terjaga.

Menurutnya, HFMD adalah disebabkam virus biasa dan tidak perlu kepada antibiotik atau antivirus serta belum ada vaksin khas untuk penyakit itu.

TIDAK PERLU MEMBAZIR

“Tidak perlu membazir membeli spray atau apa-apa krim sapu untuk ruam atau lepuh.

“Ruam dan lepuh ini akan baik dengan sendirinya. Ruam ini tidak menyebabkan kegatalan,” catat beliau.

* Rujukan dari FB Page Dr Erna